Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Tuesday, February 07, 2017

Misi jejak Aceh-Langkasuka : Berjalan kaki melihat Songkhla sebelum menyambung perkara di Hatyai

Adapun pada permulaan artikel terakhir saya di blogspot ini iaitu artikel Misi jejak Aceh-Langkasuka : Masjid Kerisek, makam Sheikh Abdul Samad dan kota atas bukit Singgora yang ditulis 2 minggu lalu saya ada menyebut bahawa setengah hari daripada itu (merujuk pada masa artikel ditulis) saya akan membuat satu lagi pengembaraan jauh masuk ke negara orang. Alhamdulillah, sukacita dimaklumkan. Pengembaraan yang dimaksudkan sudah selamat dilaksanakan 25 Januari hingga 1 Februari 2017. Ia telah membawa saya untuk meliputi beberapa tempat bersejarah dan menarik di bahagian tengah pulau Sumatera, pulau yang saiznya 2-3 kali ganda besar Semenanjung Malaysia, Perjalanan meliputi Padang di pantai barat pulau tersebut membawa ke Pelalawan dan Siak menghampiri pantai timur pulau. Kalau tidak kerana telah berjanji kepada isteri akan membawa anak bongsu menghadiri appointment hospital di Selayang tentu saya akan pergi lebih jauh lalu balik lebih lewat.

Pengembaraan tersebut yang merupakan kedua buat saya untuk tahun 2017 berlangsung dalam keadaan penceritaan "Misi jejak Aceh-Langksuka" baru hendak masuk separuh perjalanan. Sebagai peringatan, misi merujuk, pada cerita sekitar pengembaraan pertama saya tahun ini yang dilakukan 12-21 Januari, perjalanan yang meliputi beberapa tempat di selatan Thailand dan utara Semenanjung. Artikel Misi jejak Aceh-Langkasuka : Masjid Kerisek, makam Sheikh Abdul Samad dan kota atas bukit Singgora yang dipersembahkan pada jam 2.28 pagi 25 Januari baru menghuraikan hari ke-4 perjalanan. Sedangkan berdasarkan tarikh ada lagi 6 episod cerita untuk dikongsikan sebelum siri dan misi betul-betul selesai dan lengkap. 

Sekitar jam 3 petang hari tersebut saya menaiki pesawat dari KLIA ke Padang. Hari-hari berikut pun menyaksikan saya disibukkan dengan pengembaraan baru, bila dah kembali pula saya dilanda rasa kepenatan yang amat sangat buat beberapa hari. Oleh itu saya telah membuat keputusan akan mempersembahkan cerita-cerita mengenai perjalanan di Sumatera secara berselang-seli dengan perjalanan yang melibatkan selatan Thai. Sekarang biarlah disambung dahulu cerita daripada artikel Misi jejak Aceh-Langkasuka : Masjid Kerisek, makam Sheikh Abdul Samad dan kota atas bukit Singgora.


Awal pagi Isnin 16 Januari 2017, hari ke-5 perjalanan, Saya melihat ke luar daripada tingkap Masjid Sultan Sulaiman tempat saya menginap di bahagian lama kota Singgora, kini bahagian luaran bandar raya Songkhla.


Saya menginap di satu bahagian tepian dinding dalam dewan utama solat. Lihat artikel Masjid Sultan Sulaiman Singgora pada siang hari (Mosque of Sultan Sulaiman Singgora during daytime) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Tengok-tengok ada orang tinggalkan kuih untuk saya bersarapan.


Dari satu bahagian tinggi masjid saya dapat melihat pemandangan sekeliling kawasan yang pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan Melayu Islam Singgora 400 tahun yang lampau. Lihat artikel Views from the mosque of Sultan Sulaiman at Singgora (Songkhla) di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Masjid ini menjadi tumpuan pengikut tabligh tempatan juga daripada luar berkumpul dan beramal seperti digalakkan dalam gerakan. Selepas mandi dan bersiap untuk keluar saya mendengar dahulu tazkirah walaupun tak faham sepatah haram kerana dibuat dalam bahasa Thai.


Jam 11 pagi saya meninggalkan masjid dengan berjalan kaki ke arah jeti feri.



Sebelum sampai ke jeti saya melihat pemandangan perairan berdekatan yang menyambungkan Laut China Selatan/Teluk Siam (Thailand) dengan Tasik Songkhla kemudian bersarapan di hadapan jeti. Lihat artikel The waters facing old Singgora.


Selepas bersarapan saya berjalan kaki melihat pekan berdekatan, masjid sana dan pemandangan sekitar. Lihat artikel Looking at the small town at old SinggoraMasjid di pekan lama Singgora (Mosque at the small town of old Singgora) dan Views from the mosque at old town Singgora. Selepas itu baru bergerak untuk menaiki feri.






Masjid di pekan kaki bukit Singgora dilihat dari atas feri. Ternyata ia sebuah masjid baru, bukan masjid lama seperti disangkakan sebelum itu.


Sampai sahaja ke daratan saya terus mendapatkan perkhidmatan 'teksi motosikal' untuk ke pusat bandar raya Songkhla.


Saya meminta untuk dibawa ke masjid utama bandar raya. Dalam perjalanan terlihat papan tanda menunjuk arah ke "Songkhla City Wall" lalu saya turun ke sana. Terjumpa sekali sebuah rumah yang bersejarah juga muzium utama. Lihat artikel-artikel berikut :-







Biar dimaklumkan tujuan asal saya datang ke Songkhla adalah untuk melihat tinggalan tembok kota yang kelihatan tadi. Tak terfikir sebenarnya hendak ke makam Sultan Sulaiman Singgora dan kawasan bersejarah berdekatannya seperti dinyatakan dalam artikel Misi jejak Aceh-Langkasuka : Masjid Kerisek, makam Sheikh Abdul Samad dan kota atas bukit Singgora. Ini kerana bila saya Google tentang tempat peninggalan sejarah di Songkhla itulah yang saya jumpa dahulu. Bila dah terjadi saya terjumpa makam kemudian kota berdekatan terlebih dahulu baru saya faham kenapa. Kerana rupa-rupanya makam Sultan Sulaiman terletak dalam tapak kota lama yang katanya wujud sejak seawal tahun 610 Masihi. Kota yang dinaiki atas bukit Singgora pula daripada zaman sekitar pemerintahan Sultan Sulaiman awal abad ke-17 Masihi.

Sebaliknya tembok kota yang kelihatan, yang kedudukannya adalah dalam bandar raya Songkhla sekarang, bukan di tapak kota Singgora Melayu Islam yang asal, cuma didirikan pada pertengahan abad ke-19. Ini berlaku selepas beberapa lama Singgora telah diserapkan ke dalam pemerintahan kerajaan Siam/Thailand yang beragama Buddha. Maka pada saya ia bukanlah tinggalan lama Singgora yang patut dibanggakan tetapi lambang ia sudah dijajah dan dikuasai Thai.


Perjalanan diteruskan dengan berjalan kaki hendak mencari sendiri masjid utama bandar raya. Terjumpa beberapa tempat menarik termasuk bahagian lama bandar yang secara rasminya dinyatakan sebagai "Old Singgora" atau "Singgora Lama". Walhal Singgora lama yang sebenar adalah di sekitar makam Sultan Sulaiman, bukit dan kaki bukit yang saya jelajahi hari sebelumnya seperti dinyatakan dalam artikel Misi jejak Aceh-Langkasuka : Masjid Kerisek, makam Sheikh Abdul Samad dan kota atas bukit Singgora. Biar ditekankan "Old Singgora" di dalam bandar raya Songkhla ini merujuk pada bandar lama yang didirikan orang Thai untuk menggantikan pusat pemerintahan Singgora yang asli dan lebih awal. Lihat artikel-artikel berikut :-







Berehat sebentar duduk di tepian dinding jalan.


Ini katanya pintu gerbang ke bahagian lama kota Songkhla.


Selepas beberapa lama berjalan kaki sampailah ke masjid utama bandar raya ini. Menariknya, reka bentuk masjid mengingatkan saya pada Masjid Lebuh Aceh di Pulau Pinang. Lihat Masjid (Mosque of) Asasul Islam, Songkhla.


Selepas solat dan rehat di masjid, siap sempat mandi sekali baru terasa puas berjalan di Songkhla. Saya pun makan tengah hari lewat di sebuah kedai makan orang Islam tidak jauh dari masjid. Selepas itu baru mendapatkan kenderaan untuk ke destinasi seterusnya iaitu Hatyai. Lihat From Songkhla to Hatyai.


Sampai di Hatyai yang terletak dalam wilayah Songkhla saya mengambil sedikit masa 'menggagau' ke sana ke mari sebelum dapat mengenal kembali dengan pasti arah perjalanan di pusat bandar raya. Ini disebabkan saya diturunkan di satu kawasan pinggir pusat yang tidak saya cam. Walhal berdasarkan pengalaman pernah dua kali ke Hatyai tahun 2010 saya boleh sedikit sebanyak mengenal arah di pusat kota berpandukan beberapa bangunan tinggi dan sebagainya. Lihat artikel Reorienteering oneself on the streets of Hatyai.


Saya cuma dapat mengenal pasti kembali arah dengat tepat setelah menemui stesyen utama kereta api. Ini kerana kali pertama saya sampai ke Hatyai iaitu pada bulan Mei tahun 2010 saya telah mengambil kereta api dari Ipoh ke sana. Lihat artikel lama Projek buku keretapi : Ipoh ke Hatyai. Setelah dapat mengenal pasti arah baru saya mencari hotel untuk menginap. Untuk makluman itulah kali pertama saya mahu bermalam di kota meriah selatan Thailand ini. Sebelum itu saya cuma datang balik hari.


Ternyata Hatyai memang meriah waktu malam. Macam-macam boleh dilakukan dan orang pun tak boleh halang kalau nak buat. Maklumlah, berjalan seorang diri. dah 5 hari di perantauan, berada pula di negara orang, di sebuah kota yang ramai sudah sedia maklum ada apa yang ditawarkan. Nasib baik saya ingat diri sebagai seorang yang mahu menjadi penganut Islam yang baik juga suami yang baik kepada isteri yang cemerlang. Kalau tidak, boleh hanyut juga saya dengan segala macam dugaan waktu malam sana. Lihat artikel First time savouring Hatyai at night time.


No comments: